KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan qari dan qariah Malaysia yang menjadi johan Tilawah Al-Qoran peringkat Antarabangsa ke-64 yang berakhir pada Sabtu.
Dalam satu hantaran di X, Anwar menyifatkan ia satu kejayaan membanggakan dan mengharumkan nama negara.
“Alhamdulillah. Tahniah Muhammad Husaini Mahmur dan Nor Hidayah Abdul Rahman.
“Satu kejayaan membanggakan dan mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan moga umat Islam menghayati kupasan, tafsir, mesej dan hikmah al-Quran bagi mendidik menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara.
Muhammad Husaini diumumkan sebagai pemenang dalam kategori qari selepas meraih markah 95.71 peratus manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09).
Bagi kategori qariah pula, Nor Hidayah muncul johan selepas mencatatkan markah 91.76 peratus diikuti peserta Filipina Raihana Ambangaladi tempat kedua (90.26 peratus) manakala Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang dalam kategori qari manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bagi kategori qariah.