
PUTRAJAYA – Malaysia dan Indonesia terus mengukuhkan hubungan diplomatik dengan mengadakan perbincangan perkembangan kerjasama dua hala melibatkan kedua-dua negara.
Perbincangan itu dibuat menerusi pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto yang mengadakan kunjungan hormat di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini.

Menerusi hantaran di Facebook Perdana Menteri, beliau berkata, kedua-dua pemimpin memanfaatkan sepenuhnya hubungan erat persahabatan kedua-dua negara bagi mengukuhkan lagi lebih banyak kegiatan perdagangan.
Menurut Anwar, ia membabitkan pengusaha Indonesia dan Malaysia dalam pelbagai sektor terkait yang mempunyai kepentingan bersama.

“Keutamaan kami pastinya mengukuhkan dan memperbaharui sinergi ekonomi hatta mencerminkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang kukuh antara Indonesia dan Malaysia ke tahap lebih baik lagi di masa hadapan.
“Saya maklumkan, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memerlukan kerjasama semua negara jiran termasuk Indonesia bagi melonjakkan keupayaan negara sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan di benua ini dan juga seluruh dunia,” katanya.

Kunjungan hormat itu susulan daripada lawatan negara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Januari lalu yang mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara serumpun itu.