PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemantauan dilakukan di sekolah, jabatan, saluran politik dan kelompok-kelompok tertentu bagi memerangi pengaruh dan unsur keganasan.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu bukan dibuat berdasarkan agenda tertentu dan tidak juga bersifat politik kepartian sebaliknya demi keselamatan negara.
Beliau berkata, unsur dan pengaruh luar itu harus sentiasa dipantau jika tidak mahu berakhir dengan keganasan seperti yang dilihat dibanyak tempat di dunia.
“Saya akui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pengalaman yang lama namun, ia harus diperkemaskan.
“Agendanya ialah keselamatan dan keamanan. Kalau kita nak war-warkan kita mahu kebebasan dan biar negara ini lingkup. Itu bukan kebebasan. Itu memungkinkan negara ditakluki atau kacau bilau berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE), di sini hari ini.