KUALA LUMPUR – Untung lagi!
Petroliam Nasional Bhd (Petronas), mencatatkan hasil sebanyak RM171.7 bilion untuk separuh pertama 2024 (1H 2024), meningkat sedikit daripada RM169 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh kesan pertukaran mata wang asing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, hasil itu juga dicapai berikutan sebahagiannya diimbangi dengan harga purata yang lebih rendah, terutamanya untuk gas asli cecair (LNG) selari dengan penurunan harga penanda aras.
Katanya, walaupun hasil lebih tinggi, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan menurun sebanyak 19 peratus kepada RM32.4 bilion, yang disebabkan terutamanya oleh penyahgabungan anak syarikat dan cukai yang lebih tinggi dalam tempoh terbabit.
“Petronas mencatatkan prestasi yang membanggakan separuh pertama 2024, walaupun dalam keadaan ketidaktentuan pasaran dan kemelesetan ekonomi global.
“Ketika kami melepasi ulang tahun ke-50 tahun, Petronas tetap teguh dalam tanggungjawab sebagai syarikat minyak negara untuk memberikan nilai mampan jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Sejak penubuhan, Petronas sudah menyuntik RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai dan pembayaran tunai.
“Selain itu, Petronas sudah berkembang menjadi pemain tenaga global dalam tempoh ini, dan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan usahasama yang berwawasan baik di dalam mahupun di luar negara.
“Kumpulan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga kami untuk membuka jalan kepada pertumbuhan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan separuh pertama 2024 Petronas di sini, hari ini.
Muhammad Taufik berkata, walaupun pihaknya menjangkakan untuk melihat perubahan yang lebih dinamik dalam landskap operasi sepanjang tahun ini, Petronas tetap teguh dalam melaksanakan semua usaha di seluruh perniagaan bersepadu dengan strategi yang jelas dan disiplin modal yang kukuh.
Sementara itu, kumpulan mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (Ebitda) sebanyak RM64.1 bilion, lebih rendah sebanyak RM6.4 bilion atau 9.0 peratus, selaras dengan keuntungan lebih rendah.
Di samping itu, aliran Tunai dari Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM54.8 bilion, penurunan sebanyak RM3 bilion atau lima peratus, selaras dengan keuntungan yang lebih rendah yang dijana dalam tempoh terbabit.
Pelaburan modal (Capex) berjumlah RM25.7 bilion diperuntukkan terutamanya dari aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan huluan di mana Capex domestik meningkat sebanyak 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.