KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda KRU tidak berminat menjalin kerjasama dengan promoter yang kurang kesungguhan merealisasikan konsert dengan sepenuh hati untuk mereka.
Anggotanya Datuk Norman Abdul Halim, 52, berkata agak mengejutkan juga apabila ada promoter yang kurang arif mengenai latar belakang seni mereka datang merisik buat konsert.
“Ramai promoter yang boleh setakat lancar tiket, tempah tempat, tempah artis, sediakan pentas, sistem bunyi. Pandai-pandailah nyanyi macam mana.
“Ada juga promoter yang datang kepada kami tapi lagu KRU pun tak tahu sangat. Saya rasa promoter yang ada semangat, kesungguhan begitu susah nak carilah.
“Kami tak nak yang separuh-separuhlah,” katanya pada sidang media Konsert GenKRU anjuran Icon Entertainment, hari ini.
Menurut Norman, sekitar lima promoter cuba memujuk untuk anjurkan konsert mega namun akhirnya memilih Icon Entertainment.
Mereka percaya dengan kredibiliti pemiliknya, Iman Tang yang bukan nama asing lagi.
Apalagi, Iman sendiri sudah cuba memujuk mereka untuk adakan konsert berskala besar sejak November 2022 lagi.
“Satu hal bagus pasal Iman, dia ada latar belakang kreatif dan kesungguhan terhadap muzik untuk berikan yang terbaik kepada penonton. Saya rasa dia pun jaga nama dia.
“Kami pun semestinya nak jaga legasi dan nama KRU. Memang padanan yang tepatlah. Kami takkan kecewakan siapa-siapa. Sebelum ini pun kami sentiasa bereksperimen perkara baharu dan yakin dengan kepakaran kami ada.
“Bukan hanya sebagai penyanyi mahupun penghibur. Kami sudah buat persiapan dan pengorbanan untuk latihan, kecergasan, demi pastikan dapat beri persembahan paling baik,” katanya.
Kali terakhir mengadakan konsert pada 2018, Edry atau nama sebenarnya Edry Abdul Halim, 48, pula berkata dia harap konsert akan datang itu dikenang peminat sebagai sebahagian daripada memori mereka.
“Sesuatu yang mereka akan perbualkan pada 10 atau 20 tahun mendatang. Di samping cipta karya muzik, kami cipta pengalaman juga buat kami sendiri dan peminat khususnya,” katanya.
Konsert GenKRU akan berlangsung pada 3 Mei 2025, jam 8.30 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini yang menjanjikan persembahan epik daripada trio adik-beradik itu.
Tiket berharga RM258 hingga RM588 boleh dibeli menerusi laman web ticket2u bermula 20 Disember jam 11 pagi.