Home Ekonomi Kerajaan jamin tak naik harga RON95 – PM

Kerajaan jamin tak naik harga RON95 – PM

18
0
Anwar pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Medini pada Khamis. 📸 FB Anwar Ibrahim

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan tidak menaikkan harga RON95, walaupun berlaku kenaikan mendadak dalam pasaran minyak dunia susulan ketegangan antara Iran dan Israel ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun harga minyak dunia ketika ini dilaporkan berlaku peningkatan, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga kerana kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Minyak ini harganya naik turun. Sekarang ini keadaannya (harga global) agak rendah, tetapi bila naik, ia naik mendadak.

“Namun, kerajaan tidak menaikkan harga minyak kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan harga minyak boleh melonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Turkiye Hurriyet.

Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari dilaporkan berkata, Tehran sedang mempertimbangkan untuk menutup selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.

Selat itu mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global dan 80 peratus daripada perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Akhbar itu meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan berterusan, sambil menambah bahawa kesan peperangan terhadap ekonomi bergantung kepada tempoh dan tahap peningkatan serangan.