KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian untuk mengubah laluan kenderaan komersial dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan masih belum ada ketetapan buat masa ini.
“Kita bincang tadi setakat ini namun tidak ada ketetapan apa-apa. Mesyuarat ambil maklum bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengetuai mesyuarat itu dengan pihak Singapura.
“Satu kajian akan dibuat dan Malaysia akan diwakili oleh MOT dan Singapura untuk tengok aliran pergerakan kenderaan komersial bagi cadangan berkenaan dan mengkaji kesesuaian bagi mengubah laluan kenderaan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selain turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam pada itu, pihaknya juga mempertimbang cadangan menambah baik pas sedia ada seperti pas De Rantau Nomad bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tetapi bekerja di Singapura.
“Itu antara cadangan yang dibincangkan di peringkat mesyuarat hari ini,” ulasnya.
Menurut beliau, sebanyak 52 inisiatif ditetapkan dalam usaha Kerajaan Malaysia menangani kesesakan di Tambak Johor.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 inisiatif yang mewakili 42 peratus telah disiarkan, 10 inisiatif melibatkan 19 peratus sedang dilaksanakan, manakala 20 inisiatif masih belum dilaksanakan.
“Kayu ukur hasil akhir inisiatif berkenaan adalah kesesakan di Tambak Johor dapat dikurangkan.
“Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor telah ditubuhkan pada 20 Jun 2019 bagi mencari jalan meredakan kesesakan di lokasi terbabit. Mesyuarat tadi dimaklumkan bahawa pengembara harian yang menggunakan laluan itu adalah seramai 400,000 sehari dengan trend peningkatan 17 peratus setiap tahun,” jelasnya.
Saifuddin berkata, angka ini mengesahkan satu perkara bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor khususnya harus berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagi mencapai formula ke arah melegakan punca kesesakan.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kerajaan Negeri Johor menyambut baik perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.
“Kita akan sentiasa membantu sedaya upaya untuk membantu Kerajaan Persekutuan tangani kesesakan di Tambak Johor,” tegasnya.