SABAK BERNAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menafikan wujud beberapa kes terpencil berkaitan ketiadaan minyak masak peket di negeri ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan penguatkuasa untuk menjalankan pemantauan pada Isnin lalu.
Jelas beliau, hasil pemantauan mendapati minyak masak peket masih pada tahap 90 peratus di peringkat pemborong manakala 80 peratus pula bagi peruncit.
“Namun, kita tidak nafi terdapat beberapa laporan kes terpencil berhubung rungutan ketiadaan minyak paket di sesetengah kawasan,” katanya.
Berikutan itu difahamkan KPDN akan menjalankan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan bahan asas itu mudah diperolehi selain memeriksa sekiranya terdapat peniaga yang cuba menjual kepada kedai makan atau perusahaan kecil yang banyak menggunakan bahan itu.
Antara lokasi ‘panas’ yang disasarkan termasuk ‘kedai Acheh’ yang dikenal pasti menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab menyeleweng setelah mendapat maklumat dan risikan dari orang awam.
“Aduan boleh disalurkan kepada KPDN segera menerusi saluran WhatsApp 019-2794319 bagi membantu siasatan dan sertakan maklumat dan bukti foto atau video kegiatan mereka,” katanya lagi.