Home Ekonomi China bakal pindah operasi dari AS ke Asia Tenggara termasuk Malaysia

China bakal pindah operasi dari AS ke Asia Tenggara termasuk Malaysia

10
0
Anwar dan Xi Jinping ketika hadir pada Majlis Makan Malam meraikan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia pada Rabu. 📸 FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dari negara tersebut, sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, kehadiran pemimpin tertinggi China itu juga membuka ruang lebih luas kepada perbincangan fokus bersama agensi dan syarikat tempatan untuk kerjasama strategik.

Menurut beliau, pelaburan yang dibawa boleh melibatkan pelbagai bentuk, termasuk pembelian aset fizikal seperti kilang dan mesin serta pengambilalihan kepentingan dalam syarikat sedia ada.

Anwar dan Xi Jinping ketika hadir pada Majlis Makan Malam meraikan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia pada Rabu. 📸 FB Anwar Ibrahim

“Kita tahu FDI datang daripada pelbagai jenis syarikat, termasuk syarikat multinasional dan firma global baharu yang berkembang pesat seperti TikTok dan Uber dari China.

“Apabila lawatan seperti ini berlaku, ia memberi peluang kepada Malaysia untuk berbincang secara lebih terperinci dengan pelabur China, khususnya dalam sektor teknologi tinggi dan infrastruktur,” katanya pada Rabu.

Ditanya mengenai kesan ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), Dr Mustazar menjelaskan, situasi itu boleh mendorong syarikat besar China berpotensi memindahkan operasi mereka dari AS ke rantau lain termasuk Asia Tenggara.

“Dasar tarif tinggi yang diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump bertujuan menggalakkan syarikat AS kembali melabur di negara sendiri. Namun, langkah itu memberi tekanan kepada syarikat China yang beroperasi di AS.

“Sekiranya berlaku pengunduran operasi China dari AS, Malaysia perlu pantas memanfaatkan peluang ini,” ujar beliau.

Berhubung persepsi lawatan Presiden China itu mungkin menunjukkan kecenderungan Malaysia berpihak kepada China, Mustazar menegaskan, Malaysia kekal berkecuali dalam hubungan antarabangsa.

“Kita berada di tengah-tengah, antara Timur dan Barat. Malaysia tidak berpihak, tetapi mengambil apa sahaja peluang yang boleh dimanfaatkan.

“Jika China menawarkan tawaran pelaburan dan teknologi yang baik, kita sambut. Jika AS juga datang dengan cadangan menarik, kita terima. Pendekatan kita ialah pragmatik,” kata beliau.

Sebelum ini, Xinhua melaporkan, Xi Jinping menyatakan harapan agar lawatannya ke Malaysia membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan bertemakan kejiranan mesra dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here