Home Kes Cadangan bina tembok sempadan di Kelantan akan dibincang MKN

Cadangan bina tembok sempadan di Kelantan akan dibincang MKN

14
0
Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Bunga, Pasir Mas pada Sabtu. 📸 Jabatan Penjara Malaysia

PASIR MAS – Pembinaan tembok sempadan di Kelantan-Thailand perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagaimana tembok keselamatan yang kini ada di sebelah utara juga diputuskan di peringkat MKN.

“Sekarang ini ada cadangan daripada polis negeri dan kerajaan negeri berhubung pembinaan tembok sempadan. Saya percaya MKN akan memantau perkara ini dan sekiranya sudah tiba masa untuk dibincangkan, MKN akan panggil untuk perbincangan.

“Bagaimanapun, sebelum menunggu pembinaan tembok sempadan yang membabitkan kos besar, kita mengambil beberapa inisiatif lain termasuk meletakkan gentian fiber di sepanjang 40 kilometer (km) di sempadan di Perlis.

Saifuddin Nasution Ismail melawat pameran selepas Majlis Perasmian Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Bunga, Pasir Mas pada Sabtu. 📸 Jabatan Penjara Malaysia

“Pada masa sama dalam tempoh beberapa minggu lagi, kita akan menggunakan dron untuk pemantauan sempadan. Apa yang pasti, kita mengambil beberapa pendekatan lain dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini, hari ini yang turut dihadiri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, antara lain pihaknya juga akan berusaha mengutus surat rasmi kepada pemimpin itu dan kementerian yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here