Home Kes Bendung segera ‘port mat rempit’

Bendung segera ‘port mat rempit’

35
0
Sudah sampai masa mat rempit dibanteras di ‘port’ mereka beraksi bagi bendung kegiatan tak bermoral ini. 📸 arkib

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) adalah antara lokasi yang menjadi pilihan untuk mat rempit beraksi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut mengesan beberapa lokasi lain yang menjadi pilihan mat rempit termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT2).

“Berdasarkan statistik, sebanyak 2,241 tangkapan dibuat di seluruh negara terhadap mat rempit bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

“Jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini berdasarkan jumlah tangkapan direkodkan sehingga Julai lalu adalah seramai 1,122 tangkapan.

“Kebanyakan individu yang ditahan terbabit dengan kegiatan rempit adalah berusia antara 16 hingga 35 tahun,” katanya.

Mohd Yusri berkata, antara punca menyebabkan ramai golongan remaja terjebak menjadi mat rempit adalah ingin mencuba sesuatu baharu selain pengaruh rakan sebaya dan media massa.

“Kebanyakan mat rempit tiada hala tuju lalu memilih untuk berlumba sebagai aktiviti sosial mereka.

“Mereka juga berani dan agresif untuk mendapatkan sesuatu diinginkan.

“Selain itu, institusi kekeluargaan yang goyah juga adalah antara penyebab mengapa golongan berkenaan terbabit dalam aktiviti ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, lambakan pelbagai jenis dan model motosikal di pasaran serta aksesori tambahan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan adalah antara faktor pendorong utama dalam isu ini.

“Ini termasuk penggunaan tayar kecil atau dikenali sebagai tayar sotong, ekzos bising dan lain-lain ubah suai yang digunakan untuk lumba haram.

“Aksesori juga dijual pada harga murah dan mudah diperolehi menjadikan penunggang atau pemilik motosikal tertarik untuk mengubah suai kenderaan untuk berlumba,” katanya.

Menurutnya, mat rempit menggunakan pelbagai cara untuk mengelak daripada dikesan pihak polis termasuk memilih jalan kecil atau lorong yang kurang dilalui ramai orang.

“Kadang-kala mat rempit juga menggunakan rakan-rakan sebagai pengintip untuk memberi amaran awal jika terdapat kehadiran polis di lokasi mereka berkumpul.

“Mereka juga sering mengubah lokasi berkumpul atau berlumba pada saat-saat akhir untuk mengelak dikesan pihak polis yang mungkit mendapat maklumat awal berhubung kegiatan itu,” katanya.

“Ada juga mat rempit menggunakan platform media sosial untuk berkomunikasi dan merancang perlumbaan secara rahsia dan mengelak menggunakan saluran komunikasi yang mudah dipantau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here