
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melaksanakan pemantauan berterusan di seluruh stesen-stesen minyak di laluan utama masuk ke negeri ini bagi memastikan bekalan bahan bakar itu mencukupi untuk keperluan perantau kembali semula ke ibu kota.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, langkah tersebut turut dijalankan di stesen-stesen minyak di luar bandar bagi memastikan bekalan tidak terputus.
“Setakat ini bekalan (bahan bakar) dijamin mencukupi sepanjang tempoh perayaan. Untuk rekod setakat ini, KPDN Kelantan tidak menerima sebarang aduan bekalan terputus atau berkaitan bahan bakar itu.

“Jika ada stesen minyak menghadapi kekurangan bekalan, bantuan akan diberi dengan segera bagi mengelakkan kenderaan perantau terkandas,” katanya.
Difahamkan kira-kira 2.4 juta kenderaan pulang ke negeri ini sepanjang tempoh perayaan dari 28 Mac sehingga 6 April ini.
Pertambahan luar biasa tahun ini disebabkan beberapa faktor antaranya keadaan ekonomi bertambah baik serta pembelian kenderaan baharu stabil pada suku keempat tahun lalu.