KAPIT – Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala dua lagi mangsa diselamatkan penduduk kampung dalam insiden bot karam di Nanga Makoh Sungai Batang Rajang di sini petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, dalam insiden yang berlaku jam 5 petang semalam itu, bot gentian kaca dinaiki ketiga-tiga mangsa dikatakan dari arah Nanga Benin menuju ke Pekan Kapit sebelum karam akibat terlanggar batu di tengah-tengah sungai.
Sehubungan itu katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit memulakan usaha pencarian dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang.
“SAR hari ini yang bermula seawal jam 8 pagi mensasarkan usaha pencarian secara permukaan pada radius pencarian dua kilometer dari lokasi bot berkenaan karam,” katanya.
Difahamkan, mangsa terselamat adalah isteri mangsa yang hilang manakala seorang lagi lelaki adalah pekerja mereka.
“Sebarang perkembangan berhubung pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.