LAHAD DATU – Seorang warga emas berusia 68 tahun antara dua individu yang ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis, di daerah ini, semalam.
Suspek lelaki yang merupakan pengawal keselamatan berusia 68 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu, kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata sebelum itu pihaknya mengesan seorang lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan di Kampung Puyut, di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek terbabit telah menemukan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.28 gram.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, katanya, seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun turut ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan Reno Fajar kerana memiliki syabu seberat 5.84 gram.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas suspek turut didapati positif dadah.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu,” katanya.
Dzulbaharin berkata, operasi ini mencerminkan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi dalam isu dadah dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan yang berlaku di kawasan masing-masing.