
DUBLIN – Ketegangan semakin memuncak susulan para penunjuk perasaan berhimpun di beberapa jalan raya Ballymena, di sini pada 11 Jun yang sanggup berdepan dengan polis antirusuhan bersenjatakan perisai dan menggunakan meriam air pada malam ketiga tunjuk perasaan antipendatang.
Namun, mereka akhirnya bersurai tanpa mengulangi tindakan huru-hara sejak dua malam sebelumnya, apabila rumah dan kedai dibakar dan 32 polis cedera.
Tunjuk perasaan tercetus di bandar utara wilayah itu selepas penahanan dua remaja yang dituduh cuba merogol seorang gadis.
Kedua-duanya dihadapkan di mahkamah pada 9 Jun dan meminta jurubahasa Romania untuk membantu mereka.
Polis belum mengesahkan etnik kedua-dua remaja itu tetapi kawasan yang diserang pada 9 dan 10 Jun termasuk kejiranan tempat tinggal pendatang Romania.
Menteri dari setiap parti dalam eksekutif perkongsian kuasa wilayah itu mengutuk sekeras-kerasnya “keganasan bermotifkan perkauman yang disaksikan sejak beberapa hari kebelakangan ini”.
Penduduk telah diserang dan polis cedera, kata mereka dalam kenyataan bersama, sambil menggesa orang ramai supaya menolak agenda “pemecah belah” oleh golongan minoriti.
Sebagai tindak balas kepada apa yang mereka namakan sebagai “samseng perkauman”, polis mengerahkan pegawai pencegah rusuhan dengan anjing dan telah meminta pasukan di England dan Wales agar membantu meredakan keadaan.
Wartawan AFP melihat penunjuk perasaan membaling bunga api, batu bata dan botol, serta melemparkan dua bom petrol ke arah barisan kereta berperisai polis.
Satu penghadang jalan telah dibakar, ketika orang ramai memerhati berhampiran.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menyifatkan pergolakan di Ballymena sebagai “keganasan tanpa akal”.
Sekitar 32 kilometer ke tenggara bandar itu, lelaki bertopeng telah membakar pusat riadah di Larne.
Pusat itu melindungi sementara penduduk dari Ballymena yang telah dipindahkan.
Orang yang tinggal di Ballymena menggambarkan adegan “mengerikan” di mana penyerang telah menyasarkan “orang asing” sejak beberapa hari sebelumnya.
Ada penduduk memasang papan tanda di rumah mereka yang menunjukkan mereka berbangsa Filipina atau menggantung bendera Britain.
Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) berkata dalam satu kenyataan bahawa pegawainya “diserang berterusan selama beberapa jam dengan beberapa bom petrol, batu bata dan mercun”.
Beberapa pegawai yang cedera dikejarkan ke hospital.
Penolong Ketua Polis Konstabel Ryan Henderson berkata keganasan itu “jelas bermotifkan perkauman dan disasarkan kepada komuniti etnik minoriti dan polis”.
Enam orang telah ditangkap dalam rusuhan malam kedua di Ballymena dan kawasan sekitarnya. – AFP