
JAKARTA – Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), kini menjadi tumpuan dalam arena politik negara apabila namanya dikaitkan dengan kemungkinan menyertai dan memimpin Parti Solidariti Indonesia (PSI).
Langkah itu dilihat sebagai usaha Jokowi mengekalkan pengaruh politiknya selepas tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden.
PSI, yang kini dipimpin oleh anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep, telah membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berkongsi visi parti untuk bertanding dalam pemilihan Ketua Umum PSI yang akan datang.
Dalam satu kenyataan, Jokowi menyatakan beliau masih mempertimbangkan untuk bertanding jawatan tersebut dan bergurau bahawa beliau tidak mampu untuk kalah.
Jokowi mengakui sistem pemilihan satu anggota, satu undi yang akan digunakan oleh PSI ialah satu cabaran besar.
“Saya dengar mereka akan gunakan e-undi. Itulah bahagian yang paling sukar tapi kalau saya mendaftar, mungkin yang lain semua akan tarik diri,” tambah beliau.
Timbalan Ketua PSI, Andy Budiman, berkata sistem itu mencerminkan misi parti untuk menjadi sebuah ‘parti super terbuka’, apabila semua anggota mempunyai hak mengundi yang sama.
“Ini adalah detik bersejarah dalam politik kita. Ia adalah komitmen untuk menjadi parti moden yang benar-benar mencerminkan semangat generasi ini,” kata Andy.
Ini berbeza dengan amalan biasa parti lain yang memilih pemimpin melalui konsensus dalaman.
Dengan pemilihan Ketua Umum PSI baru yang akan menggunakan sistem ‘satu anggota, satu undi’, suatu pendekatan yang lebih demokratik, PSI membuka peluang kepada Jokowi untuk mengambil alih kepimpinan parti itu.
Langkah Jokowi itu secara langsung menimbulkan persoalan mengenai hubungan beliau dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti yang pernah membawanya ke tampuk kuasa.
Hubungan antara Jokowi dengan PDI-P mula renggang selepas beliau secara tidak langsung menyokong Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden 2024, yang akhirnya membawa kepada pemecatan beliau dan beberapa anggota keluarganya daripada parti itu.
Dalam konteks ini, PSI dilihat sebagai wadah politik baru bagi Jokowi untuk meneruskan pengaruhnya dalam arena politik Indonesia.
Parti yang pada asalnya ditubuhkan sebagai parti progresif untuk golongan muda kini berusaha menyesuaikan naratif politiknya supaya selari dengan visi dan kepimpinan Jokowi.
Sejak pemecatannya daripada PDI-P, Jokowi dilihat tidak lagi mempunyai landasan politik yang kukuh dan langkah menyertai PSI juga dilihat sebagai strategi mengekalkan pengaruh politiknya dalam era pasca-Presiden.
Dengan anak-anaknya memegang jawatan penting dalam pemerintah dan politik, seperti Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden dan Kaesang sebagai Ketua Umum PSI, Jokowi dilihat sedang membina dinasti politik yang kukuh.
Sementara itu, menantunya, Muhammad Bobby Afif Nasution, ialah Gabenor Sumatera Utara, malah beberapa menteri Kabinet masih mempunyai hubungan rapat dengan beliau.
Namun, ia tidak menghapuskan persepsi bahawa Jokowi kini berada dalam kedudukan yang rapuh, terutama apabila sekumpulan jeneral bersara meminta pemecatan Gibran kerana didakwa mewakili kesinambungan pengaruh Jokowi dalam pentadbiran negara.
Namun, itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai amalan politik dinasti dan kesannya terhadap demokrasi di Indonesia.
Persaingan terbuka untuk jawatan Ketua Umum PSI kini menjadi perhatian, memandangkan Jokowi dikatakan berpotensi bertanding dalam pemilihan itu.
Sebagai seorang pemimpin yang tidak lagi mempunyai parti politik selepas disingkirkan daripada PDI-P, Jokowi dilihat sedang mencari ‘rumah politik’ baharu untuk mengekalkan pengaruhnya dalam landskap politik Indonesia.
Andy berkata pihaknya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi visi mereka untuk menjadi sebahagian daripada pemilihan kai ini, termasuk Jokowi.
Beliau menegaskan tiada komunikasi rasmi dibuat dengan Jokowi setakat ini, tetapi pintu masih terbuka untuk beliau. – AGENSI