Home Global PM rakam takziah atas pemergian Paus Francis

PM rakam takziah atas pemergian Paus Francis

27
0
Anwar menyifatkan Paus Francis bukan sahaja dikenang sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang lantang memperjuangkan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan dialog antara agama.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis, yang disifatkan sebagai salah seorang tokoh moral dunia dan simbol belas ihsan sejagat.

Dalam satu kenyataan rasmi, Anwar menyifatkan Paus Francis bukan sahaja dikenang sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang lantang memperjuangkan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan dialog antara agama.

“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang memperjuangkan belas kasihan, kerendahan hati dan keadilan dalam dunia yang bergolak.

Kematian Paus Francis dilaporkan sekitar jam 8 pagi Isnin pada usia 88 tahun.

“Komitmen beliau terhadap persefahaman antara agama, pemeliharaan alam sekitar serta maruah golongan yang terpinggir telah melangkaui batas institusi Gereja Katolik,” katanya di laman sosial Facebook.

Perdana Menteri turut menekankan peranan penting Paus Francis dalam mendukung usaha perdamaian global.

Menurut beliau, usaha Paus Francis membina jambatan antara budaya dan agama telah mengangkat martabat beliau di mata dunia, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam.

“Beliau bersuara dengan kejelasan moral mengenai penderitaan besar di Gaza dan mengingatkan dunia bahawa kita mesti menzahirkan belas kasihan yang sama terhadap semua mangsa keganasan, tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya.

Anwar turut memuji ketegasan Paus Francis dalam memperjuangkan hak dan maruah pelarian serta migran dan menyifatkan tindakannya sebagai contoh kepimpinan yang berteraskan nilai kemanusiaan dan belas ihsan.

Mengimbau kenangan peribadi, Perdana Menteri berkata beliau pernah diberi penghormatan mengunjungi Paus Francis di Vatican pada awal pentadbiran.

Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya komuniti Katolik di Malaysia.

Media melaporkan Paus Francis yang meninggal dunia pada usia 88 tahun, dikenang sebagai pemimpin Gereja Katolik yang berjiwa rakyat dan banyak menyentuh isu global sepanjang kepimpinannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here