
GAZA – Kekejaman rejim Zionis ternyata tiada batasan apabila memasuki hari kedua Aidiladha di sini, serangan pengganas Israel itu meragut sekurang-kurangnya 75 rakyat Palestin dengan 85 yang lain dipercayai terperangkap di bawah sisa runtuhan.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari puluhan mayat di bawah runtuhan selepas pengeboman sebuah bangunan kediaman di Gaza City yang digambarkan operasi “pembunuhan beramai-ramai” rejim Zionis.
Jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmoud Basel, memberitahu media Al Jazeera, pihak rejim tentera tidak memberikan “sebarang amaran, tiada isyarat” sebelum serangan dilancarkan ke atas di kawasan kejiranan Sabra. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Ini benar-benar satu pembunuhan beramai-ramai yang lengkap, sebuah bangunan yang dipenuhi orang awam,” kata Basel, yang menambah bahawa kira-kira 85 orang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
“Kami terjaga akibat serangan, kemusnahan, jeritan, batu-batu menimpa kami,” kata Hamed Keheel, seorang rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di lokasi kejadian.
“Inilah realiti penjajahan,” katanya.
”Kami bangun untuk meraikan anak-anak dan memakaikan mereka pakaian raya, namun kami terpaksa bangun untuk mengangkat mayat wanita dan kanak-kanak dari bawah runtuhan.”
Rejim Zionis dalam kenyataannya mendakwa mereka membunuh Asaad Abu Sharia, ketua Briged Mujahideen, yang didakwa terlibat dalam serangan yang diketuai oleh Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.
Hamas mengesahkan pembunuhan itu dalam satu kenyataan yang dikongsi di Telegram, dengan menyatakan bahawa abang Abu Sharia, Ahmed Abu Sharia, juga terbunuh dalam serangan terbabit. – AL JAZEERA